Bezza rosak selepas 8 jam dibeli, Perodua buat siasatan menyeluruh

Bezza rosak selepas 8 jam dibeli, Perodua buat siasatan menyeluruh

Perodua sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu untuk menyelesaikan masalah itu.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman Jaafar berkata Perodua mengambil beberapa langkah menyelesaikan isu kereta Bezza rosak terbabit termasuk menawarkan kenderaan sementara kepada pelanggan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perodua menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes sebuah kereta Bezza milik seorang pelanggan yang dilaporkan rosak tidak sampai lapan jam selepas diserahkan.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman Jaafar berkata pihaknya sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

“Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Rozman berkata pihaknya akan berkongsi maklumat lanjut mengenai kes itu selepas siasatan selesai dijalankan.

“Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan,” katanya.

Terdahulu dilaporkan bahawa kegembiraan seorang kerani memiliki Perodua Bezza yang baru dibeli, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kereta itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih malang, pemilik kereta tersebut terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta baharunya’ itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.

Media melaporkan kereta itu dibeli dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat pada 17 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.