Abim gesa Kelantan bincang pelan perparitan elak banjir

Abim gesa Kelantan bincang pelan perparitan elak banjir

Abim Kelantan berkata mangsa banjir mengeluh tentang masalah perparitan dan saliran di negeri itu.

Abim Kelantan berkata banjir yang berlaku hampir setiap tahun sepatutnya menjadi agenda negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan menggesa sidang DUN khas diadakan bagi membincangkan pelan perparitan “holistik” untuk mengurangkan risiko banjir dalam jangka panjang.

Naib Yang Dipertua Saifulnizam Muhamad berkata mangsa banjir di Kelantan mengeluh tentang masalah perparitan dan saliran di negeri itu, yang ketika ini dilanda bencana banjir.

Di lapangan, Abim Kelantan temui beberapa longkang dan parit tidak bersambung walaupun hanya dihalang satu lorong jalan, dan beberapa kawasan digenangi air termenung mengambil masa agak lama untuk surut walaupun cuaca cerah selama beberapa hari.

Ia mendakwa sepanjang 2023, perancangan kerajaan negeri untuk mengemukakan pelan mengelakkan banjir kurang dibahaskan dalam sidang DUN.

“Banjir yang berlaku hampir setiap tahun sepatutnya menjadi agenda negeri,” katanya Saifulnizam dalam kenyataan.

Beliau menambah kepimpinan tertinggi kerajaan negeri sendiri mengakui bahawa perparitan yang tersumbat salah satu punca banjir pada 2022.

Justeru, Abim Kelantan menggesa agar sidang DUN khas diadakan untuk bahas “apa sahaja pelan pelaksanaan bagi mengurangkan risiko banjir untuk jangka masa panjang”.

“Seandainya sidang DUN khas tidak dianjurkan kerajaan negeri, pembangkang mestilah menggesa ianya diadakan agar fungsi pembangkang dapat dizahirkan,” katanya.

Ia berharap kerajaan negeri dan pembangkang mengambil langkah proaktif untuk pelan mengurangkan risiko banjir.

DUN Kelantan didominasi Perikatan Nasional, yang menduduki 43 daripada 45 kerusi. Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.