Seleweng lebih RM600,000 wang syarikat, bekas eksekutif dipenjara 24 tahun

Seleweng lebih RM600,000 wang syarikat, bekas eksekutif dipenjara 24 tahun

Tertuduh, Tan Siau Ling, 44, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas enam tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang majikannya.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 44, dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas kesalahan pecah amanah dan menyalahgunakan wang majikannya berjumlah RM680,108.13. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas enam tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang majikannya berjumlah RM680,108.13, kira-kira lima tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Tan Siau Ling, 44, menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding sebutan kes secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam, lapor Berita Harian.

Dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM386,858.85 daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat berkenaan dalam amaun berbeza ke dalam akaun peribadinya serta akaun syarikat milik bekas suaminya, Yew Meng Kiat Ent.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat itu di No 32-1, Jalan PM 5 Plaza Mahkota Melaka pada tarikh berbeza antara 24 Mei hingga 14 Oktober 2019, 15 hingga 28 Ogos 2019 dan 11 September 2019.

Dakwaan bagi semua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.

Pada prosiding berasingan, dia mengaku salah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM293,249.28 iaitu dengan memasukkan wang berkenaan dalam jumlah berbeza kepada tiga akaun bank miliknya iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat sama pada tarikh berbeza antara 4 Julai hingga 23 Oktober 2019 dan antara 20 Ogos hingga 24 September 2019.

Terdahulu, peguam Nur Atifah Kamal Effendi merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf sepanjang ditahan dipenjara sejak 20 Jun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, mengambil kira fakta kes jumlah wang yang diseleweng.

Kedua-dua hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan ia berjalan serentak dari tarikh tangkapan iaitu 20 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.