Mangsa banjir Pahang meningkat, Kelantan, Johor kekal

Mangsa banjir Pahang meningkat, Kelantan, Johor kekal

Nadma turut melaporkan terdapat 26 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jumlah mangsa banjir di Pahang menunjukkan sedikit peningkatan manakala bilangan mangsa di Kelantan dan Johor masing-masing dilaporkan kekal setakat 6 pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di Pahang menunjukkan sedikit peningkatan dengan 29 orang berbanding 19 orang manakala bilangan mangsa di Kelantan dan Johor masing-masing dilaporkan kekal setakat 6 pagi tadi.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), semua mangsa di Pahang itu berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Maran dan Temerloh, lapor Bernama.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir kekal dengan seramai 26 orang ditempatkan di sebuah PPS di Pasir Mas manakala di Johor pula membabitkan 25 mangsa yang berlindung di sebuah PPS di Segamat.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya meliputi Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan yang merekodkan 9.01 meter (m) dengan trend menurun dan Sungai Arau di Arau, Perlis (24.3m dengan trend meningkat).

Laporan itu juga menyatakan terdapat 26 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak, Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor, Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.