
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kamarudin Nor, berkata pihaknya tidak pernah menjadikan perkara itu fokus menarik pelancong, sebaliknya pelbagai program disusun untuk meningkatkan sektor pelancongan negeri.
Beliau memberitahu Pengasas Gabungan Penggiat Pelancongan Dalam Negara, Uzaidi Udanis, membuat semakan terlebih dahulu sebelum memberikan komen mengenai perkara itu, termasuk merujuk Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC).
Terdahulu, Uzaidi mengkritik kerajaan Kelantan kerana dilihat ‘bangga’ menjadikan rekod perkahwinan rakyatnya dengan pasangan luar sebagai tarikan utama pelancong dan menggesa kerajaan negeri diketuai PAS itu menggali potensi pelancongan sebenar.
Kritikan Uzaidi menyusuli kenyataan Kamarudin yang perkahwinan campur menjadi punca utama kemasukan pelancong, khususnya ketika musim cuti sekolah.
Adun Ayer Lanas itu dilaporkan mendakwa kehadiran pelancong bukan sahaja untuk menghadiri kenduri, tetapi turut melanjutkan tempoh percutian bersama keluarga.
“Dari mana dia (Uzaidi) dapat maklumat perkahwinan orang Kelantan dengan orang ‘luar’ sebagai fokus (kerajaan negeri) untuk tarikan pelancongan ke Kelantan?
“Sepatutnya, mana-mana pihak tak jelas soal pelancongan di Kelantan merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan dengan TIC. Segala info aktiviti pelancongan yang sedang dan akan dilaksanakan dinyatakan di sana,” kata Kamarudin kepada FMT.
Justeru, Kamarudin mengundang Uzaidi atau pihak tidak jelas mengenai perkara berkenaan bersemuka dan melihat sendiri aktiviti pelancongan di ‘Negeri Cik Siti Wan Kembang’ itu.
“Kita tak perlu menghabiskan masa untuk menjawab fitnah dan buruk sangka orang. Jika mereka ikhlas, semak dulu fakta dan kemudian buat rumusan,” katanya.
Beliau berkata, Kelantan sedang bergerak ke arah memperkasakan lagi sektor pelancongan termasuk memperbaiki kelemahan lalu dan memantapkan program sedia ada.
Katanya, selain produk budaya serta acara kreatif seperti pesta makanan, wayang kulit, dikir barat, batik dan pesta wau yang menjadi rutin aktiviti pelancongan negeri, pihaknya sedang meneroka sektor baharu antaranya memperkenalkan beberapa tapak khas untuk ‘motorhome’ dan karavan.
“Ia sekali gus menjadikan Kelantan sebagai destinasi baharu bagi peminat kembara jalan raya. Antara lokasi utama dikenal pasti termasuk Gunung Reng di Jeli, Jeram Mengaji di Pasir Puteh dan Pantai Kemasin di Bachok, selain kawasan Gua Musang dan Kuala Krai,” katanya.
Menurutnya, acara ‘4×4 challenge’ juga akan dijadikan tarikan baharu pelancongan ketika musim tengkujuh selain merangka strategi tertentu bersama Thailand termasuk sukan air seperti pertandingan ‘Perahu Piala Diraja’ yang dianjurkan negara jiran itu.