
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata pada mulanya polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di depan pintu masuk ruangan ATM berkenaan pada jam 7.29 pagi.
Katanya, semakan rakaman CCTV di bank tersebut mendapati pada jam 11.48 malam mangsa dilihat berbaring di hadapan pintu masuk ruangan ATM itu dalam keadaan mabuk.
“Pada 12.01 tengah malam, pintu ‘shutter’ ruang mesin ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu dan lantai. Ia terbuka semula (secara automatik) pada jam 6 pagi.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 50 hingga 60-an.
“Pemeriksaan ke atas badan si mati mendapati tiada kecederaan lain dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat sebagai kematian mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Mohd Shahrul di talian 012-3630512.