
Tertuduh, Nurul Bahiah Ghazali, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Irwan Suianbon sebaik empat pertuduhan dikemukakan.
Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, wanita itu didakwa menyalah guna harta iaitu cek RHB Bank milik syarikat guaman berjumlah RM50,100 untuk kegunaan sendiri, pada 16 Nov 2018.
Pertuduhan kedua dan keempat pula, Nurul Bahiah didakwa menyalahgunakan serta memalsukan tandatangan Manjeet Kaur Syran Singh, 73, pada cek RHB Bank berjumlah RM465,423, antara 18 Mac hingga 24 Dis 2019, menurut Berita Harian.
Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama dengan semua kesalahan dilakukan di CIMB Bank Berhad, Jalan Sulaiman, Muar.
Seksyen 403 memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 467, penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam dengan mahkamah memutuskan tertuduh dibenar ikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan.
Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 14 Feb untuk sebutan semula, serahan dokumen, dan juga lantikan peguam.
Pada 12 Dis lalu, suami tertuduh, Mohd Fairus Md Noor, 36, didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas 10 pertuduhan menerima harta curi milik sebuah firma guaman bernilai lebih RM500,000, sejak 2008 hingga 2009.
Dia yang tidak mengaku salah, didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.