Lelaki pandu lawan arus parah dalam nahas 5 kenderaan

Lelaki pandu lawan arus parah dalam nahas 5 kenderaan

Polis berkata, pemandu Myvi itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Keadaan di lokasi kemalangan di KM2.6 Lebuhraya Penyuraian Timur menghala ke pusat bandar di Johor Bahru tengah malam tadi.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu parah selepas memandu lawan arus sehingga menyebabkan pelanggaran empat kenderaan lain di KM2.6 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala ke pusat bandar di Johor Bahru tengah malam tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, pemandu 20 tahun itu memandu lawan arus dan melanggar sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang kemudiannya mengakibatkan pelanggaran tiga kereta lain.

Katanya, Perodua Myvi itu yang dipercayai dipandu dari arah Johor Bahru menuju utara itu memandu lawan arus bermula dari bulatan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sebelum memasuki EDL.

“Mitsubishi Triton yang datang dari arah utara menuju pusat bandar tidak sempat mengelak Perodua Myvi yang datang dari arah depannya.

“Pelanggaran itu menyebabkan Mitsubishi Triton tersebut terbalik dan tiga kereta lain, iaitu Toyota Vios, Honda City dan Audi A3 dari arah sama dengan pacuan empat roda itu tidak sempat mengelak, lalu melanggar Perodua Myvi dan Mitsubishi Triton tersebut di tengah jalan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, pemandu Myvi yang cedera di kaki, tangan dan leher itu masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah, manakala pemandu empat kenderaan lain hanya cedera ringan.

Katanya, pemandu Myvi itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.