2 suspek guna parang, kayu besbol samun pemandu di jalan raya

2 suspek guna parang, kayu besbol samun pemandu di jalan raya

Polis berkata suspek memecahkan cermin kereta sebelum melarikan beg komputer riba milik mangsa.

Tangkap layar menunjukkan dua suspek bersenjatakan parang dan kayu besbol menyamun seorang pemandu kereta Mercedes-Benz yang berhenti di Jalan Persiaran Pegaga, Klang semalam.
PETALING JAYA:
Polis memburu dua suspek yang terbabit dalam satu kejadian samun seorang pemandu kereta ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat yang sibuk di Klang pada petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Klang Selatan Kamalariffin Aman Shah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang selepas mangsa dipercayai baru mengeluarkan wang dari mesin ATM di sebuah bank, lapor Berita Harian.

Katanya, lelaki itu yang memandu kereta jenis Mercedes-Benz berwarna hitam kemudian menuju ke Bukit Tinggi, Klang, sebelum dihampiri dua suspek bertopeng ketika berhenti di Persiaran Pegaga.

“Salah seorang suspek terbabit yang bersenjatakan kayu besbol memecahkan cermin pintu belah penumpang hadapan, manakala seorang lagi bersenjatakan parang pula memecahkan cermin pintu bahagian pemandu.

“Suspek memaksa mangsa menyerahkan beg komputer riba sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Yaris berwarna kelabu,” katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa patah tulang jari tangan kiri dan luka calar sebelah lengan kanan, selain kerugian RM6,000 akibat kehilangan komputer riba serta kerosakan kedua-dua cermin pintu keretanya.

Kamalariffin berkata polis menggerakkan semua elemen agar suspek terbabit dapat ditangkap dalam masa terdekat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan melalui talian 03-33772222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di laman sosial X, dua lelaki bertopeng dan berpakaian hitam menyamun sebuah kereta Mercedes-Benz yang berhenti di jalan yang sesak dengan kenderaan.

Suspek yang bersenjatakan parang dan kayu besbol dilihat memecahkan cermin kenderaan itu sebelum melarikan diri dengan beg komputer milik mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.