Waspada helah bayaran balik, MYAirline beri amaran pelanggan

Waspada helah bayaran balik, MYAirline beri amaran pelanggan

Syarikat penerbangan bermasalah itu menggesa pelanggan mengesahkan sumber maklumat ketika menerima mesej berhubung bayaran balik.

MYAirline meminta pelanggan memeriksa dengan pasukan komunikasi rasminya terlebih dahulu susulan e-mel penipuan yang dihantar menggunakan nama syarikat itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Syarikat penerbangan bermasalah, MYAirline memberi amaran kepada pelanggannya tidak terpedaya dengan penipuan berpotensi membabitkan proses bayaran balik tambang.

MYAirline berkata, terdapat laporan individu menyamar sebagai pegawai syarikat penerbangan itu yang menghubungi pelanggan menunggu bayaran balik.

“Scammer ini menggunakan pelbagai taktik, termasuk panggilan telefon, e-mel atau mesej di platform media sosial untuk memperdaya pelanggan memberi maklumat peribadi atau membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan.

MYAirline turut menggesa pelanggannya mengesahkan sumber maklumat dengan pasukan komunikasi rasminya ketika menerima sebarang komunikasi berhubung bayaran balik.

Syarikat penerbangan itu juga meminta pelanggannya tidak berkongsi maklumat peribadi atau mendedahkan butiran kewangan kepada mana-mana sumber tidak disahkan yang mendakwa daripada MYAirline.

Terdahulu, FMT hari ini menerima e-mel bertajuk “MyAirLine Refunds” yang meminta butiran perbankan sebelum 3 Jan ini daripada individu mahu proses bayaran balik dipercepatkan dengan menjanjikan bayaran balik dalam tempoh 48 jam.

E-mel itu ditandatangani “Datuk Seri Azharuddin Rahman” yang mengisytiharkan dirinya “eksekutif bertanggungjawab”.

MYAirline menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Okt lalu akibat kekangan kewangan, 11 bulan selepas beroperasi, setelah “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.

Susulan itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggantung lesen syarikat penerbangan tambang rendah bermasalah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.