Kelantan segerakan pengambilan tanah projek tebatan banjir, kata MB

Kelantan segerakan pengambilan tanah projek tebatan banjir, kata MB

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan akan mengambil segala langkah segera untuk mempercepatkan projek tebatan banjir.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud dalam lawatan ke Kelantan yang dilanda banjir. (Gambar Facebook Nassuruddin Daud)
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan memberi jaminan akan membantu mempercepatkan proses pengambilan tanah untuk melaksanakan projek tebatan banjir yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

Menyambut baik pengumuman projek bernilai lebih RM900 juta di negeri itu, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan akan mengambil segala langkah segera demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, projek terbabit termasuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) bernilai RM6 juta dan proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM 910.52 juta akan dimulakan tahun depan.

“Kerajaan negeri akan mengambil segala langkah perlu menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek-projek ini,” katanya dalam kenyataan.

Nassuruddin berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Anwar itu demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan penghargaan kepada perdana menteri atas penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada Kelantan, keseluruhan jumlah diterima tahun ini RM217.96 juta,” katanya.

Selain peruntukan itu, Anwar turut mengumumkan bantuan awal RM50 juta untuk mangsa banjir di Kelantan, dengan setiap keluarga terjejas menerima RM1,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.