Himpunan gergasi untuk Palestin 24 Feb sasar sejuta peserta

Himpunan gergasi untuk Palestin 24 Feb sasar sejuta peserta

Koordinator perhimpunan itu berkata, acara itu dirancang berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat, tetapi lokasi tepat belum dapat dipastikan.

Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin itu bertujuan menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mendesak perang di Gaza dihentikan serta-merta. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Satu perhimpunan gergasi sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin dirancang di Kuala Lumpur pada 24 Feb depan dengan sasaran sejuta peserta.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata program dikenali Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin itu bertujuan menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mendesak perang di Gaza dihentikan serta-merta.

Beliau yang juga koordinator perhimpunan itu berkata, pihaknya turut menyasarkan 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mendaftar dalam gabungan Perhimpunan Sejuta Rakyat itu, yang dirancang berdekatan Kedutaan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, katanya, lokasi tepat perhimpunan serta perarakan itu belum dapat dipastikan dan pihak berkuasa diminta memberi kerjasama membantu memastikan acara berkenaan dapat diadakan dengan aman dan lancar.

“Perhimpunan ini akan menghantar mesej kuat dari rakyat Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk segera bertindak menyekat Israel daripada terus melakukan serangan ganas ke atas Gaza,” katanya dalam sidang media di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.