Warganet dakwa kedai runcit di Forest City jual ubat terkawal secara terbuka

Warganet dakwa kedai runcit di Forest City jual ubat terkawal secara terbuka

Mereka bimbang mengenai kesan terhadap kesihatan kerana penjualan ubat berkenaan memerlukan preskripsi pengamal perubatan bertauliah.

Gambar ubat terkawal yang memerlukan preskripsi pengamal perubatan bertauliah yang didakwa dijual secara terbuka di sebuah kedai runcit di Forest City. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Pengguna media sosial bimbang dengan tindakan sebuah kedai runcit di Forest City, Johor yang didakwa menjual ubatan terkawal secara terbuka tanpa preskripsi pengamal perubatan bertauliah.

Pengguna media sosial X, @fiholicMD mendedahkan kedai berkenaan menjual satu antibiotik dikenali sebagai azithromycin yang dijual secara terbuka pada harga RM15.

“Bagi sesiapa yang tidak tahu, azithromycin adalah antibiotik yang memerlukan preskripsi. Ia tidak boleh dijual secara terbuka termasuk di farmasi berdaftar,” katanya.

“Ubatan ini kemungkinan besar tidak berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).”

Tambahnya, ubatan itu tidak dijual di farmasi tetapi sebuah kedai runcit.

Semakan di laman sesawang NPRA mendapati tiada rekod mengenai tablet ubatan yang dibuat syarikat Sichuan Medco Pharmaceutical Stock Co Ltd.

Azithromycin adalah antibiotik yang merawat pelbagai jangkitan bakteria termasuk yang menjangkiti sistem pernafasan, kulit, telinga, mata dan penyakit berjangkit melalui aktiviti seks.

Seorang lagi pengguna X memberi amaran mengenai kesan penggunaan antibiotik itu yang didakwanya boleh memberi kesan kepada kesihatan usus.

“Ia membunuh semua bakteria baik, mengambil probiotik untuk mengatasi masalah usus hanya memburukkan lagi keadaan.”

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberi maklum balas mengenai perkara itu selepas dimaklumkan seorang pengguna dalam hantaran berasingan.

“Ini sangat membimbangkan. AMR (rintangan antimikrob)! Bahagian farmasi perlu segera mengambil tindakan lebih agresif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.