Tanpa peguam, Chegubard sedia lawan Nik Nazmi di mahkamah

Tanpa peguam, Chegubard sedia lawan Nik Nazmi di mahkamah

Chegubard berkata, beliau tidak teragak-agak memanggil pihak terlibat bagi menyoal mereka berhubung RTB.

Badrul Hisham Shaharin ke Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Putrajaya untuk mengambil surat tuntutan daripada Nik Nazmi Nik Ahmad susulan kenyataan berunsur fitnah berhubung projek RTB.
PUTRAJAYA:
Pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin sedia berdepan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di mahkamah meskipun tidak diwakili peguam berhubung kenyataan berunsur fitnah mengenai projek rancangan tebatan banjir (RTB).

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu yang lebih dikenali sebagai Chegubard mencabar Nik Nazmi melawannya di mahkamah “supaya rakyat tahu isu itu” dan tidak teragak-agak memanggil pihak terlibat bagi menyoal mereka berhubung RTB.

“Bukan sebab saya kaya, tapi kalau saya tak ada peguam. Saya pergi sendirilah ke mahkamah dan saya nak bawa semua dokumen, nak sapina semua orang yang tandatangan perjanjian tepi tu dan saya nak soal satu-satu.

“Tapi janganlah peguam Nik Nazmi nak bantah kata tak relevan pula,” katanya di luar Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini.

Beliau ke kementerian itu untuk mengambil surat tuntutan daripada Nik Nazmi bagi menarik balik serta-merta dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah berhubung projek RTB.

Tetapi, Chegubard mendakwa tidak menerima surat itu sejurus menteri berkenaan memaklumkan sudah menyerahkannya semalam.

Beberapa minit selepas ke pejabat kementerian itu, Chegubard keluar dan memaklumkan surat tuntutan itu dihantar kepadanya melalui pos berdaftar hari ini.

“Nik Nazmi maklumkan pejabat kementerian bahawa mereka sudah hantar hari ini melalui pos berdaftar. Oh baru nak hantarlah. Kau sembang kari Nik Nazmi. A cakap A lah, B cakap B.”

Minggu lalu, Nik Nazmi berkata beliau akan menyaman Chegubard kerana mendakwa projek RTB itu menelan kos sehingga RM16.6 bilion, dengan syarikat dan individu tidak dikenali menerima komisen sebagai proksi kepada menteri.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, kerajaan menilai semula cadangan projek tebatan banjir keutamaan tinggi, memberi tumpuan kepada kawasan kritikal dan tiada dana diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.