
Ini kerana anggota jawatankuasa yang akan mengemukakan syor ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) itu sememangnya terdiri daripada pakar dalam pelbagai lapangan.
“Anggota jawatankuasa khas yang telah dilantik pada masa ini untuk menjalankan tanggungjawab ini adalah memadai mengambil kira bidang kepakaran masing-masing,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, semalam, agar jawatankuasa tersebut dapat mengambil kira pandangan orang bukan Islam supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.
Na’im menjelaskan jawatankuasa tersebut turut dianggotai bekas hakim mahkamah persekutuan, wakil Jabatan Peguam Negara, ahli akademik, dan pengamal undang-undang, di samping wakil majlis agama Islam negeri dan mahkamah syariah.
Ia dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Zaki Azmi.
“Semua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan, undang-undang sivil, undang-undang syariah, dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat,” katanya.
Hasil kajian, pandangan, dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-raja.
Ia bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.