
Anwar yang juga menteri kewangan berkata peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan digunakan untuk menampung bantuan lain.
“Bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat ini kita meluluskan peruntukan awal RM50 juta.
“Menerusi peruntukan berkenaan, setiap keluarga akan menerima RM1,000 dan tambahan bantuan lain bergantung pada kerugian yang dialami mangsa banjir,” katanya menurut Berita Harian selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan menyegerakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok fasa dua bagi menangani masalah banjir terutama di Rantau Panjang.
Beliau meminta kerajaan negeri mempercepatkan proses pengambilan tanah.
“Projek PLSB Sungai Golok mengikut perancangan mengambil masa beberapa tahun, namun kita akan menyegerakan projek berkenaan secepat mungkin dan dijangka fasa dua akan dimulakan Januari depan.
“Kita terpaksa mengambil langkah segera untuk fasa dua bagi mengurangkan tekanan banjir, terutama di Rantau Panjang yang berdepan banjir sehingga empat kali setahun,” katanya.