Operator air perlu beri jamin perkhidmatan baik jika tarif naik, kata NGO

Operator air perlu beri jamin perkhidmatan baik jika tarif naik, kata NGO

Sebelum ini, Putrajaya berkata semua kerajaan negeri bersetuju tarif air disemak semula.

Presiden Awer S Piarapakaran berkata semua operator air perlu mencapai dan melakukan penambahbaikan perkhidmatan.
PETALING JAYA:
Syarikat pengendali bekalan air perlu memberi jaminan untuk memulihkan perkhidmatan mereka sekiranya dibenarkan menaikkan tarif, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran.

Memberi contoh peningkatan tarif air untuk pengguna bukan domestik di Selangor sejak setahun lalu, Piarapakaran mempersoalkan penambahbaikan yang telah dibuat dan ditunjukkan pihak terbabit.

Beliau menegaskan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (WSIA), setiap syarikat air perlu mengemukakan pelan tiga tahun termasuk perancangan perniagaan bagi tempoh 30 tahun ke hadapan.

Menurutnya, setiap data dan maklumat berhubung pencapaian serta kegagalan perlu diterbitkan untuk pengetahuan awam.

“Jika selepas dua tahun masih tiada penambahbaikan atau gagal mencapai KPI ditetapkan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) boleh mengambil tindakan ke atas syarikat ini.

“Jadi syarikat air dan kumbahan perlu memberi jaminan perkhidmatan mereka pada tahap terbaik,” katanya kepada FMT.

Pada 9 Nov lalu, Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang Parlimen berkata kerajaan negeri secara rentas parti, bersetuju supaya tarif air di negeri disemak semula.

Sehubungan itu, satu mekanisme penetapan tarif baharu diwujudkan bagi mengawal selia kadar kenaikan tarif oleh syarikat pengendali.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim pada 21 Dis lalu pula berkata bahawa ada keperluan bagi semakan semula tarif air sangat mendesak kerana hampir semua syarikat yang menguruskan bekalan air di negara ini beroperasi dalam keadaan rugi.

Menurutnya, kadar tarif air ketika ini terlalu rendah sedangkan perbelanjaan modalnya (Capex) agak tinggi, sambil menambah sudah lebih 20 tahun Selangor tidak dilakukan kajian semula berhubung pelarasan tarif air di negeri itu.

Sementara itu, Piarapakaran menggesa kerajaan mengikut perancangan yang telah digariskan dalam Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN) dan WSIA dengan betul supaya rakyat tidak terbeban dengan masalah air pada masa depan.

“Kegagalan mengikut perancangan PSIPAN and model WSIA sepenuhnya akan memberikan masalah besar kepada industri perkhidmatan air negara yang akhirnya akan membebankan pengguna dan memberikan kesan negatif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.