Guna peruntukan RM700 juta, KPKT laksana 5,196 projek pembangunan tahun ini

Guna peruntukan RM700 juta, KPKT laksana 5,196 projek pembangunan tahun ini

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek-projek tersebut melibatkan 4 komponen utama, iaitu sosioekonomi, kemudahan awam, keselamatan dan prasarana.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor MIng mengadakan lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan 5,196 projek pembangunan untuk rakyat tahun ini dengan peruntukan RM700 juta, rekod tertinggi dalam sejarah kementerian tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, projek-projek tersebut melibatkan empat komponen utama, iaitu sosioekonomi (746 projek); kemudahan awam (476 projek); keselamatan (33 projek) dan prasarana (3,941 projek).

“Antara pembangunan utama yang diberi penekanan termasuk peningkatan pembinaan infrastruktur awam seperti parit, longkang, jalan, laluan pejalan kaki, lampu jalan selain kemudahan awam seperti dewan serbaguna, kemudahan sukan dan rekreasi, pondok, bas serta tandas awam bertaraf BMW (Bersih, Menawan dan Wangi).

“Selain itu projek-projek sosioekonomi turut mendapat perhatian KPKT dengan menaik taraf premis perniagaan, pasar, bazar dan gerai makan bagi menawarkan peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan, lapor Bernama.

Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan RM191 juta bagi pelaksanaan 3,209 unit MyKiosk dengan peruntukan RM48.8 juta.

Selain itu, RM47.6 juta diluluskan bagi projek perparitan untuk mengelak banjir kilat dan RM94.6 juta untuk kira-kira 469 projek kolam takungan banjir.

Kesemua projek itu dilaksanakan mengikut Peruntukan Berlandaskan Pelaksanaan (Performance-Based Budget) bagi memastikan dana awam yang dibelanjakan menepati sasaran dan berbaloi dari segi kos, menurut Nga.

Katanya, dengan sasaran KPKT sebanyak 5,000 projek setiap tahun, beliau yakin kerajaan Madani mampu melaksanakan 50,000 projek pembangunan untuk rakyat jika terus diberi peluang mentadbir negara selama 10 tahun.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.