Tak sengaja lepas tembakan, pengawal keselamatan bank disiasat

Tak sengaja lepas tembakan, pengawal keselamatan bank disiasat

Pengawal keselamatan berusia 50-an itu yang menggunakan pump gun telah terlepas tembakan ke arah lantai, menyebabkan cermin pintu pecah.

Polis melakukan pemeriksaan di sebuah bank di Petaling Jaya selepas pengawal keselamatan terlepas tembakan semalam. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Tindakan seorang pengawal keselamatan yang secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan ke arah lantai di sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya semalam menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk di situ pecah.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Beliau berkata polis menerima pemakluman kes itu pada 10.13 pagi tadi daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di institusi kewangan itu sebelum sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya ditugaskan ke lokasi.

“Hasil siasatan mendapati pengawal keselamatan berumur 50-an itu menggunakan senjata jenis pump gun telah melepaskan satu das tembakan ke arah lantai sehingga menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk telah pecah.

“Tiada sebarang cubaan samun dan pengawal keselamatan itu juga negatif dadah. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

M Hussin Sollehuddin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya melalui talian 03-79662222.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.