
Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee mendakwa banyak masalah berlaku ketika tempoh percubaan Ogos lalu seperti kesesakan trafik, sukar melalui laluan kecemasan ke hospital, menjejaskan peniaga kecil, dan mengelirukan pelancong.

Beliau juga berkata tidak banyak alternatif disediakan dari segi pengangkutan awam dan parkir bagi mengurangkan kesan kesesakan susulan penutupan jalan yang menjadi laluan utama orang ramai setiap hari.
Kerk turut mendakwa perniagaan sekitar kawasan terbabit mengalami penurunan 90% dan ada pengguna terkandas dalam kesesakan sehingga dua jam apabila insiatif itu dimulakan minggu lalu.
“Saya menyeru kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mempertimbangkan membatalkannya kerana memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi, pelancongan dan meningkatkan pembebasan karbon,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, kerajaan negeri mengumumkan pelanjutan tempoh penutupan jalan sempena zon bebas kenderaan di Banda Hilir kepada tiga hari bermula Jumaat berbanding setiap Sabtu sebelum ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Rais Yasin dilaporkan berkata penutupan jalan berkenaan adalah selama 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.
Pelanjutan tempoh penutupan jalan berkenaan mendapat reaksi negatif daripada peniaga dan rakyat Melaka sekali gus berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula pelanjutan tempoh tersebut selain menggesa isu penyuraian trafik dapat diatasi sebaik mungkin.
Mereka juga menggesa tempoh percubaan itu kekal pada setiap Sabtu bermula 6 petang hingga 12 tengah malam seperti sebelum ini.