
Menggambarkan kejadian itu “hanya sebahagian kecil daripada isu yang sebenarnya”, Azalina berkata syarikat terbabit perlu dikenakan tindakan dan siasatan perlu dilakukan untuk mengenalpasti bagaimana pekerja yang sah dieksploitasi dengan janji palsu untuk bekerja di negara ini.
“Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Tiada toleransi terhadap pelanggaran hak asasi manusia termasuk di sektor perniagaan. Ini adalah masanya untuk mengambil tindakan terhadap perniagaan yang terbabit,” katanya di laman sosial X.
Azalina yang juga menteri undang-undang dan reformasi institusi juga berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim kerana membantu pekerja asing tersebut.
Gesaan Azalina itu susulan kejadian polis menahan 171 pekerja Bangladesh yang berjalan dalam barisan di jalan raya di Pengerang, Johor dalam video tular semalam.
Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, kumpulan warga asing itu berjalan kaki di kawasan depan simpang masuk Teluk Ramunia Bayu Damai untuk ke Balai Polis Bayu Damai membuat laporan pada pagi Rabu lalu kerana mendakwa ejen tidak memberikan pekerjaan.
Sim berkata walaupun kes itu di luar bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, pihaknya membantu pekerja Bangladesh tersebut atas dasar kemanusiaan.
Katanya, kementerian akan memanggil majikan yang tertera dalam dokumen pekerja asing itu dan ejen terbabit dalam minggu ini untuk membantu siasatan.
Beliau juga merancang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk membincangkan dan menambah baik dasar berkaitan pengambilan pekerja asing.