Langgar ‘bucket’ jengkaut, pesara polis maut

Langgar ‘bucket’ jengkaut, pesara polis maut

Kejadian berlaku apabila pemandu jengkaut keluar dari simpang sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa yang datang di laluan sah berlanggar dengan kenderaan itu.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gajah, kata Ketua Polis Daerah Batu Gajah Mohamad Roy Suhaimi Sarif.
PETALING JAYA:
Seorang pesara polis maut apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah jengkaut di Lorong 4 Bakar Kampung Ayer Papan dekat Batu Gajah semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata ketika kejadian, lelaki berusia 55 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gajah.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati apabila mangsa sampai di tempat kejadian, pemandu jengkaut keluar dari simpang sebelah kiri jalan menyebabkan mangsa yang datang di laluan sah berlanggar dengan kenderaan itu di hadapan sebelah kanan ‘bucket’ dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menurut laporan Bernama.

Mohamad Roy Suhaimi berkata hasil ujian saringan air kencing pemandu jengkaut berusia 64 tahun itu didapati negatif dan tiada rekod saman.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk tujuan bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat serta menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, Inspektor G. Rissi menerusi talian 017-7615662.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.