ID digital: Bagaimana ia berfungsi?

ID digital: Bagaimana ia berfungsi?

FMT melihat dengan lebih dekat perbezaan ID digital dan kad pengenalan konvensional, dan implikasi keselamatan dan privasinya.

Pakar berkata ID digital menyediakan cara yang lebih selamat dan cepat untuk membuktikan identiti seseorang, walaupun individu itu tidak dapat mengemukakan dokumen fizikal. (Gambar MIMOS)
PETALING JAYA:
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mempercepatkan pembangunan kad pengenalan atau ID digital, sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepatkan transformasi digital di sektor awam.

Tetapi apakah sebenarnya ID digital atau dikenali sebagai MyDigital ID ini? FMT mengupas apakah perbezaan ID digital ini berbanding kad pengenalan konvensional dan implikasi keselamatan serta privasinya.

Apakah ID digital?

Menurut felow kanan Persatuan Antarabangsa untuk Cegah Keganasan dan Keselamatan Profesional SL Rajesh, digital ID menyimpan butiran peribadi seperti nama anda dan alamat, tetapi berbeza dengan kad pengenalan tradisional, ia disimpan secara digital di dalam komputer atau telefon pintar.

“Digital ID seperti kad pengenalan maya yang anda gunakan secara dalam talian. Ia menunjukkan siapa diri anda di Internet, sama seperti anda menunjukkan kad pengenalan di dunia sebenar,” katanya kepada FMT.

CEO Cybersecurity Malaysia Amirudin Abdul Wahab pula berkata berbeza kad pengenalan tradisional, digital ID bergantung pada sijil digital.

“ID digital hanya memerlukan sijil digital yang menghubungkan kunci awam dan identiti menerusi tandatangan digital yang boleh digunakan secara meluas untuk pelbagai tujuan berbanding dokumen fizikal,” katanya.

Katanya, tujuan utama ID digital adalah untuk menyediakan cara yang lebih selamat dan cepat untuk membuktikan identiti seseorang, walaupun individu itu tidak dapat mengemukakan dokumen fizikal.

Contoh dan kejayaan antarabangsa

Amirudin mengambil contoh negara seperti Singapura, Indonesia, India, dan Estonia yang berjaya dalam pelaksanaan ID digital.

Katanya, 95% penduduk di Indonesia memiliki e-KTP (Kartu Tanda Penduduk Elektronik) manakala India pula memiliki 96% pendaftaran untuk sistem ID biometrik.

“Senario di setiap negara berbeza dan memerlukan pendekatan khas terhadap ID digital berdasarkan cabaran unik dan keperluan masing-masing,” katanya.

Perlindungan identiti anda di dunia digital

Berkenaan dengan perlindungan identiti digital, Rajesh dan Amirudin menekankan kepentingan langkah-langkah keselamatan yang kukuh.

“Mengintegrasikan pengesahan biometrik dan pengesahan pelbagai faktor boleh meningkatkan lagi tahap keselamatan,” kata Rajesh.

Langkah-langkah ini termasuk menggunakan cap jari, pengenalan wajah, kata laluan, dan kod SMS untuk menghalang akses yang tidak sah dan kebocoran data.

Memahami keselamatan dan privasi ID digital anda

Menangani kebimbangan privasi juga penting. ID digital, yang rentan kepada serangan siber, memerlukan pengendalian yang berhati-hati dari segi data peribadi dan perlindungan identiti.

Amirudin menasihati orang ramai untuk berhati-hati, menggunakan kata laluan yang kuat dan perkongsian maklumat yang bijak.

“Hanya kongsi ID digital anda dengan organisasi yang dipercayai, berhati-hati tentang maklumat yang anda kongsi dalam talian, gunakan kata laluan yang kuat dan tetapan keselamatan, dan semak polisi privasi syarikat dan organisasi yang mengeluarkan ID digital,” katanya.

Sementara itu, Rajesh menekankan keperluan pengurusan persetujuan pengguna dalam sistem ID digital, memastikan individu mempunyai kawalan terhadap data mereka.

“Kerajaan seharusnya telus mengenai penggunaan data, membenarkan pengguna untuk membenarkan atau menolak perkongsian data dan menarik balik persetujuan jika diingini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.