Polis belum terima permohonan anjur piket sekitar Kedutaan AS

Polis belum terima permohonan anjur piket sekitar Kedutaan AS

Menurut Sekretariat Solidariti Palestin, piket itu akan berkumpul di sekitar Kedutaan AS selama enam hari, bermula esok.

Tunjuk perasaan kecam Israel susulan pembantaian di Gaza diadakan di Kedutaan AS pada Oktober.
KUALA LUMPUR:
Polis setakat ini tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ yang akan diadakan di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat, bermula esok hingga Ahad.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada penganjur, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), bagi mengadakan piket berkenaan.

Sementara itu, SSP dalam kenyataan memaklumkan piket yang membabitkan 48 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan secara aman, sebagai respons terhadap krisis genting yang menuntut tindakan segera.

Piket itu bertujuan menuntut pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan; gencatan senjata dilaksanakan segera, kekal dan tanpa syarat; menghentikan pertempuran untuk menangani keperluan segera orang awam di Gaza; dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk sebuah negara berdaulat.

Menurut SSP, piket itu yang disertai aktivis dari organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik dari pelbagai spektrum akan berkumpul di sekitar Kedutaan AS selama enam hari.

“Aksi bertindak ini akan diadakan secara aman. Kami (SSP) akan membuka khemah dan tinggal di khemah sepanjang piket, selain mengadakan acara-acara solidariti setiap malam dan memasang bendera dan simbol perjuangan rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

SSP menyasarkan 30 hingga 50 peserta esok, dan menjangkakan jumlah itu akan bertambah pada hari berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.