Di sebalik jurang gaji pekerja mahir, tak mahir

Di sebalik jurang gaji pekerja mahir, tak mahir

Pekerja separuh mahir dan tidak mahir sukar naik gaji apabila mencapai 'siling', selain tiada peruntukan undang-undang bagi kenaikan tahunan.

Median gaji pekerja mahir pada 2022 naik RM4,506, namun separuh mahir dan tidak mahir masing-masing pada kadar RM1,593 dan RM1,274. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan Dasar Gaji Progresif mencetuskan perdebatan berhubung peningkatan jurang antara pekerja mahir dengan tidak mahir.

Awal bulan ini, ahli ekonomi Noor Azlan Ghazali, menggesa dasar itu fokus kepada pekerja tidak mahir mengambil kira gaji golongan itu lambat berkembang.

Katanya, gaji median bagi pekerja mahir pada 2010 adalah RM2,600, berbanding RM1,200 bagi separuh mahir dan RM840 bagi tidak mahir.

Pada 2022, gaji median pekerja mahir melonjak kepada RM4,506, manakala separuh mahir dan tidak mahir masing-masing hanya meningkat RM1,593 dan RM1,274.

Menurut ahli ekonomi Yeah Kim Leng, pekerja berkemahiran rendah dan separuh mahir berdepan isu pertumbuhan gaji didorong perusahaan kecil dan sederhana kebiasaannya mengawal kos operasi dengan mengurangkan gaji.

Dalam pada itu, pengurus pasaran dari Mercer Malaysia, Koay Gim Soon, berkata gaji pekerja berkemahiran rendah dan separuh mahir sukar ditingkatkan sejurus julat gaji “sampai ke paras siling”.

“Selagi mana tiada perubahan dalam skop kerja mereka, sukar gaji berkembang kerana tanggungjawab kekal sama,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia, Rosli Affendi, berkata ketiadaan pengaruh pekerja dalam peningkatan gaji tahunan menyumbang kepada jurang pendapatan.

Katanya, undang-undang semasa tidak memerlukan majikan menyemak gaji tahunan pekerja. Pertumbuhan gaji pekerja berkemahiran rendah terpulang kepada budi bicara pengurusan.

“Dan mereka tidak mempunyai saluran membuat aduan kerana tiada peruntukan dalam Akta Pekerja 1955 bagi semakan gaji dan peningkatan tahunan,” katanya.

Ahli ekonomi, Geoffrey Williams pula berkongsi perspektif berbeza sambil menyatakan pekerja berkemahiran rendah dan separuh mahir perlu terlibat dalam ekonomi gig atau cabang lain untuk menambah pendapatan.

Williams, dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata memandangkan bekalan buruh kekal berlebihan, pekerja akan berdepan lebih banyak persaingan, menjadikan prospek meraih peningkatan gaji semakin rendah.

“Pasaran sudah memaksa ke arah trend itu,” katanya sambil menambah semakin ramai pekerja menyertai sektor tidak formal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.