
Menurut Indeks Trafik TomTom, rakyat Malaysia menghabiskan 75 jam dalam kesesakan waktu puncak sepanjang 2022, bersamaan tiga hari penuh.
Justeru, timbul cadangan memperkenal caj kesesakan di Kuala Lumpur sebagai cara penyuraian trafik di pusat bandar, apabila Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam kembali membangkitkan idea tersebut.
FMT melihat konsep caj kesesakan dan bagaimana ia berfungsi dan kemampanannya di Malaysia.
Apa itu caj kesesakan?
Caj kesesakan adalah bayaran dikenakan terhadap kenderaan melakukan perjalanan dalam kawasan ditetapkan pada masa tertentu, disasarkan bagi menguruskan laluan trafik dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Kebiasaannya, caj itu dikutip menerusi sistem tol elektronik, apabila kenderaan masuk ke kawasan zon ditetap ketika jam caj dikenakan dengan bayaran ditolak automatik.
Perancang pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, caj kesesakan berbeza dengan bayaran tol, yang mana dikenakan berdasarkan penggunaan jalan dan/atau jarak laluan.
“Caj kesesakan dikutip bagi mendanai pengangkutan awam dan kemudahan berkaitan,” katanya sambil menyatakan ia boleh digunakan pihak berkuasa bandar raya menyediakan ruang parkir.
Caj kesesakan di luar negara
Singapura menjadi bandar pertama memperkenal bayaran kesesakan pada 1975. Skim asal melibatkan sistem manual lesen berkod warna, yang kemudian digantikan menerusi sistem elektronik.
Beberapa bandar di dunia juga melaksanakan bayaran kesesakan, termasuk di London dan Stockholm.
Di London, caj kesesakan adalah £15 (RM88.23) sehari bagi pemanduan dalam zon kesesakan di Central London. Bayaran terpakai sepanjang minggu bermula 7 pagi hingga 10 malam.
Stockholm yang melaksanakan bayaran kesesakan membawa kepada pengurangan 15% trafik di pusat bandar dan pengurangan 30% masa perjalanan.
Adakah caj kesesakan berkesan di Malaysia?
Ahmad Farhan Sadullah dari Universiti Putra Malaysia, menyokong caj kesesakan sebagai cara menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, namun keberkesanan bergantung kepada keazaman dan kemampuan kerajaan.
“Ia hanya berkesan jika ada keazaman menyelesaikan masalah kesesakan termasuk keberanian memperkenal skim seperti di Singapura dan banyak lagi bandar lain dunia yang telah melakukannya sejak sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, Rosli berkata, bandar tertentu di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru bersesuaian dikenakan caj kesesakan.