Geely cadang bina universiti di Tanjung Malim, kata Saarani

Geely cadang bina universiti di Tanjung Malim, kata Saarani

Menteri besar Perak berkata universiti itu berperanan lahir bakat muda dalam TVET dan teknologi automotif.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri telah mencadangkan lokasi bersesuaian bagi pembinaan universiti berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) telah menghantar cadangan membina sebuah universiti di Tanjung Malim, khusus dalam teknologi automotif.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata hasrat itu disampaikan pengurusan kanan syarikat tersebut, minggu lalu.

Katanya, cadangan itu merupakan rancangan masa depan mereka, selain pelaburan bernilai RM34 bilion yang akan dibawa masuk ke Tanjung Malim menerusi Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

“Di China setiap perusahaan ada satu universiti, jadi Perak akan ada satu universiti. Universiti itu nanti akan melatih melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang TVET dan teknologi automotif.

“Mereka minta kita menyediakan tempat dan kita sudah pun mencadangkan tempat kepada mereka,” katanya menurut Astro Awani di Ipoh.

Saarani berkata, susulan kewujudan universiti berkenaan akan menyusul lagi beberapa pembinaan bangunan dan institusi lain berkaitan.

Beliau berkata, Geely juga berhasrat menjadikan Perak hab penting pelaburannya di rantau ini.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi bagi mewujudkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian.

Katanya, PLANMalaysia telah bersetuju dengan cadangan lokasi berkenaan dan Exco Perak juga telah meluluskan serta menghantar cadangan itu ke Kementerian Ekonomi untuk diteliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.