Kenyataan bercanggah, polis tutup siasatan kes gangguan seksual jurulatih basikal

Kenyataan bercanggah, polis tutup siasatan kes gangguan seksual jurulatih basikal

Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diberikan oleh mangsa dan saksi.

Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata kertas siasatan telah dinyatakan ‘NFA’ oleh pegawai penyiasat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan polis terhadap dakwaan gangguan seksual yang melibatkan pelumba basikal wanita negara dan jurulatihnya, ditutup kerana terdapat percanggahan dalam kenyataan.

“Kertas siasatan telah disemak dan ia ditandakan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) oleh pegawai penyiasat kerana terdapat percanggahan dalam kenyataan yang diberikan oleh mangsa dan saksi,” kata Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz kepada FMT.

Semalam, Amarjit Singh, pemangku timbalan presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata pihaknya akan mengadakan pendengaran tatatertib dalaman berhubung jurulatih itu.

Amarjit berkata jurulatih, pelumba dan saksi akan dipanggil untuk menghadiri pendengaran itu.

Kenyataannya itu susulan laporan bahawa pejabat timbalan pendakwa raya memutuskan untuk tidak membuat sebarang pertuduhan terhadap jurulatih itu susulan siasatan polis.

Keputusan TPP itu susulan surat bertarikh 23 Nov mengenai siasatan oleh Asmadi.

Kontroversi bermula pada April apabila pelumba wanita negara itu membuat laporan polis berikutan insiden semasa sesi latihan, sebelum PKBM menggantung jurulatih itu.

Jurulatih itu, yang telah melatih skuad Sukan Sea Phnom Penh, meletak jawatan berikutan dakwaan pelumba itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.