
Katanya, tanpa mengambil kira sama ada ia didanai swasta atau awam, iklim ekonomi tidak memberi keupayaan bagi projek itu dihidupkan ketika ini.
Ridza juga mendakwa Singapura, berbanding Malaysia dan Johor akan menerima kelebihan besar dari segi manfaat ekonomi projek, memandangkan negara kota itu hab serantau pelbagai sektor.
“Mengambil kira sebahagian besar projek berada di Malaysia, hampir 90% kos akan ditanggung oleh Malaysia, namun kelebihan ekonomi akan secara signifikannya memberi manfaat kepada Singapura,” katanya kepada FMT.
Katanya, pembinaan HSR melibatkan kos lebih tinggi berbanding mana-mana projek rel ringan dan transit massa, yang mana boleh menjejaskan daya maju kewangannya.
Beliau berkata, sebaliknya Malaysia sepatutnya fokus mengurangkan hutang negara yang kini RM1.5 trilion kepada tahap lebih munasabah iaitu sekitar RM800 bilion.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Januari, baru-baru ini menyeru projek HSR dihidupkan semula untuk ia dijajarkan melalui Forest City, projek pembangunan hartanah yang dibina di atas penambakan tanah di Selat Johor.
Pada 2016, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian pembinaan 350km projek HSR. Dijadual siap sepenuhnya pada 2026, HSR mampu mencapai kelajuan sehingga 300km/h, dijangka memendekkan waktu perjalanan Kuala Lumpur-Singapura kepada 90 minit.
Bagaimanapun, projek itu digantung kerajaan Pakatan Harapan pada September 2018. Ia kemudian dihidupkan pada Disember 2018 dengan penyelarasan semula bagi mengurangkan kos.
Namun, pada 2021, projek berkenan dibatalkan kerajaan Perikatan Nasional di mana keputusan itu menyaksikan Malaysia membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.
Kerajaan hari ini berkata, pihaknya terbuka untuk menghidupkan projek tersebut jika ia didanai sektor swasta, bukan Putrajaya.
Sementara itu, konsultan pelancongan dan pengangkutan YS Chan, berkata HSR akan memberi manfaat tidak langsung kepada negara. Projek itu akan melibatkan kos lebih rendah jika dibina secepat mungkin berbanding pada masa akan datang.
“Apabila masa perjalanan dipendekkan kepada hanya 90 minit tanpa perlu tempoh daftar masuk lama bagi penerbangan, akan ada aliran pengembara lebih lancar untuk perniagaan dan percutian. Sekali gus membawa lebih banyak pelaburan dan belanja pelancongan kepada dua negara,” katanya.
Chan mencadangkan kerajaan menubuhkan “pembangunan berasaskan transit” dengan membina kilang, pusat industri dan kediaman di sekitar stesen HSR, termasuk di kawasan terpencil.