
Presiden Persatuan Konsultan MM2H Anthony Liew, berkata deposit RM5 juta diperlukan bagi permohonan kategori platinum untuk penduduk tetap (PR) demi memastikan bukan semua akan diterima masuk.
“Tidak banyak orang yang ada RM5 juta tunai untuk diletakkan di Malaysia. Negara lain melibatkan peraturan PR memerlukan mereka (warga asing) meletakkan USD1 ke USD5 juta, atau membeli hartanah untuk layak mendapat PR atau kewarganegaraan.
“Saya percaya ini (peraturan deposit MM2H) seakan sama seperti itu. Jadi, saya tidak fikir adalah (betul) mengatakan (kelonggaran syarat) memudahkan laluan,” katanya kepada FMT.
Liew mengulas demikian berhubung kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, yang mempersoal laluan “mudah” bagi mendapatkan status PR bagi mereka memperoleh pas kediaman jangka panjang MM2H, selain penurunan umur kelayakan bagi permohonan MM2H.
Dalam pada itu, Pengarah Bersama Bait Al-Amanah Abdul Razak Ahmad, berkata kelonggaran program MM2H tidak bermakna mana-mana warga asing bebas masuk ke negara ini.
“Berpindah ke negara lain merupakan tindakan signifikan dan walaupun ada kelonggaran syarat MM2H, ia kekal tinggi dari segi kos kepada ramai warga asing.
“Mereka yang sanggup dan berkemampuan memohon kebiasaannya adalah individu berbakat dan berkemahiran, jadi meluaskan jangkauan warga asing berkemahiran,” katanya.
Liew dalam pada itu menyangkal hujah Mas Ermieyati bahawa warga asing berkemahiran akan bersaing dengan bakat tempatan dalam pekerjaan, memandangkan peserta MM2H tidak dibenarkan pada awal lagi bekerja di Malaysia.
“Mereka boleh melabur di Malaysia, dan mereka boleh jadi pemegang saham syarikat (tempatan) yang mana mereka perlu menggaji pekerja tempatan. Mereka akan menjana peluang kerja tempatan bukan bersaing.
“Mereka yang memilih dalam program penduduk tetap adalah ‘bos besar’ bukan sembarangan. Mereka akan mewujudkan lebih banyak peluang kerja di Malaysia,” katanya.
Pada 15 Dis, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata, tiga peringkat baharu – perak, emas, dan platinum diperkenalkan dan memerlukan pemohon meletakkan deposit di bank tempatan RM500,000 bagi perak, RM2.5 juta (emas), dan RM5 juta (platinum).