Kumpulan bawa kes terhadap sekolah vernakular ke Mahkamah Persekutuan

Kumpulan bawa kes terhadap sekolah vernakular ke Mahkamah Persekutuan

Mappim dan Gapena mahu mahkamah ketepi keputusan Mahkamah Rayuan, yang mendapati sekolah vernakular sekian lama diiktiraf dalam kerangka perundangan sistem pendidikan.

Mappim dan Gapena mahu Mahkamah Persekutuan isytihar sekolah vernakular tidak mengikut Perlembagaan.
PUTRAJAYA:
Dua kumpulan berkepentingan mahu Mahkamah Persekutuan ketepikan keputusan mahkamah terdahulu yang mengisytiharkan penggunaan Mandarin atau Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran oleh sekolah vernakular adalah mengikut Perlembagaan.

Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) pada Selasa memohon Mahkamah Persekutuan membenarkan ia merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Nov itu.

Dua kumpulan lain yang terbabit dalam prosiding di mahkamah bawahan – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) and Ikatan Guru Muslim Malaysia (I-Guru) – tidak menyertai langkah ini.

Peguamcara, Amelda Fuad Abi & Aidil, dalam kenyataan berkata pemohon merangka lima persoalan berkait Perlembagaan dan dua persoalan berkait undang-undang dalam usaha memohon Mahkamah Persekutuan mendengar merit kes mereka.

“Haniff Khatri Abdullah akan terus memimpin pasukan peguam kami,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Rayuan pada 23 Nov lalu mengisytiharkan sekolah vernakular sekian lama diiktiraf dalam kerangka perundangan sistem pendidikan sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dan Perlembagaan 1957.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata sekolah vernakular bukanlah penguasa awam maka penggunaan bahasa pengantar bukan Melayu untuk pengajaran dan pembelajaran tidak menyalahi undang-undang.

Keputusan itu menjawab rayuan Mappim, Gapena, Isma, dan I-Guru terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan perkara sama.

Kumpulan berkenaan mahu mahkamah mengisytiharkan Seksyen 2, 17, dan 28 Akta Pendidikan yang membenarkan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran tidak konsisten dengan Perkara 152(1) Perlembagaan.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengisytiharkan kewujudan sekolah tersebut dan peruntukan berkaitan dalam Akta Pendidikan tidak menyinggung mana-mana peruntukan berkait kebebasan asasi yang terkandung dalam Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.