Cekap urus subsidi, hasil dan hutang kunci ekonomi stabil, kata pakar

Cekap urus subsidi, hasil dan hutang kunci ekonomi stabil, kata pakar

Peningkatan 2% dalam cukai jualan dan perkhidmatan mampu membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Ahli ekonomi menyambut baik usaha kerajaan mengawal hutang dan meningkatkan hasil yang membantu menstabilkan ekonomi.
PETALING JAYA:
Komitmen kerajaan menguruskan hutang, meningkatkan pendapatan dan merasionalisasikan subsidi disifatkan langkah berpandangan jauh selain bertanggungjawab untuk menstabilkan ekonomi serta kesaksamaan sosial, kata ahli ekonomi.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Goh Lim Thye berkata walaupun langkah seperti peningkatan 2% menerusi cukai jualan dan perkhidmatan mungkin tidak memberi ‘kelebihan politik’, namun mengukuhkan keadaan fiskal negara.

Goh turut menyambut baik Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang bertujuan untuk menerbitkan laporan prestasi perbelanjaan pertengahan tahun dan penyata risiko fiskal.

Diluluskan Dewan Negara pada 27 Nov, empat sasaran diletakkan iaitu mengekalkan perbelanjaan pembangunan tahunan pada 3% atau lebih berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) diikuti mengekalkan defisit fiskal pada 3% atau kurang dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Objektif ketiga mengekalkan paras hutang tidak melebihi 60% daripada KDNK dalam tempoh tiga hingga lima tahun manakala yang terakhir, kerajaan bercadang mengekalkan jaminan atau liabiliti luar jangka tidak melebihi 25% daripada KDNK.

Purata dalam tempoh lapan tahun sebelum ini ialah 17.8%.

“Langkah-langkah ini dijangka memupuk akauntabiliti lebih kukuh dalam pengurusan fiskal, memastikan perancangan belanjawan lebih telus dan berkesan,” kata Goh.

“Dengan mengambil langkah ini, kerajaan menetapkan pengurusan fiskal berhemah bertujuan menjamin masa depan ekonomi lebih stabil dan mampan.”

Menyentuh usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil, Goh berkata kutipan cukai lebih tinggi merupakan langkah utama Belanjawan 2024.

Beliau berkata ini termasuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8% dan memperkenalkan cukai keuntungan modal (CGT) pada kadar 10% ke atas keuntungan bersih daripada pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan, berkuat kuasa 1 Mac 2024.

Goh berharap hasil tambahan yang dijana itu akan dialihkan dengan cekap untuk membantu golongan memerlukan, memastikan pendekatan lebih seimbang dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan kebajikan sosial.

Beliau menambah inisiatif kerajaan baru-baru ini merombak sistem subsidi, khususnya petrol RON95, mencerminkan “pendekatan berbeza” terhadap dasar sosial dan ekonomi.

Bulan lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi RON95 pada separuh kedua 2024 kepada “mereka yang paling memerlukannya”.

Menurutnya, Putrajaya sedang mempertimbangkan tiga jenis subsidi bagi warganegara Malaysia – individu, isi rumah dan berasaskan kad – untuk diperkenalkan pada Mac depan.

Sementara itu, pakar ekonomi Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata subsidi bersasar lebih tepat untuk pengurusan fiskal kerana ia akan membantu mengurangkan pembaziran dan menangani penyeludupan.

Beliau berkata sistem subsidi semasa memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi kerana golongan berpendapatan B40 menggunakan lebih sedikit petrol berbanding mereka yang berpendapatan lebih tinggi.

“Ia satu inisiatif yang baik kerana kita mahu mengurangkan atau menghapuskan pembaziran,” katanya. “Seperti contoh diesel… terdapat banyak manipulasi dan penyeludupan melalui laut, dan itu adalah perkara yang sangat serius,” katanya.

Mengulas mengenai kaedah untuk meningkatkan hasil kerajaan, Barjoyai berkata sistem invois elektronik (e-invois) yang diperkenalkan baru-baru ini akan menghasilkan ketelusan yang lebih tinggi dalam ekonomi bayangan.

“Kita mempunyai saiz ekonomi bayangan bernilai RM300 bilion, dan jika kerajaan boleh mengawalnya dengan lebih ketat, ia boleh memperoleh sumber pendapatan yang mampan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.