Transit 10kg ganja di RTC, warga Thai antara 2 dicekup

Transit 10kg ganja di RTC, warga Thai antara 2 dicekup

Dua suspek itu menjadikan pusat RTC Napoh di Jitra sebagai lokasi transit melibatkan dadah bernilai RM33,000.

Ketua Polis Kubang Pasu Rodzi Abu Hassan, berkata polis menjumpai 10 bungkusan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Warga Thailand antara dua lelaki ditahan susulan rampasan 10.2kg bernilai RM33,000 selepas menjadikan tempat letak kenderaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh dekat Jitra sebagai transit.

Ketua Polis Kubang Pasu Rodzi Abu Hassan, berkata warga Thai berumur 30-an dan lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kedah, pada 4.45 petang, Isnin.

“Semasa pemeriksaan fizikal, polis telah merampas satu beg galas daripada suspek warga Thailand dan pemeriksaan lanjut di dalam beg galas tersebut telah menjumpai 10 bungkusan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

“Selain itu, kita turut menyita dua buah motosikal milik suspek dan hasil saringan air kencing kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan pekerja buruh itu didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya menurut Bernama pada pada sidang media di Jitra.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan disyaki bertindak sebagai “pusher” atau pengedar dadah kecil-kecilan, manakala dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran dan transit di lokasi tersebut sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Katanya, polis masih menyiasat modus operandi yang digunakan dan mengesan sama ada terdapat suspek lain terlibat.

“Kita juga percaya dadah tersebut dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus di sempadan negara,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 25 Dis dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.