
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata permusuhan sejak sekian lama antara Umno dan Warisan akan menjadi kekangan untuk apa jua kerjasama pada PRN Sabah.
“Warisan bermula berlatar belakang kepada sentimen parti tempatan, dan Umno adalah musuh utamanya pada 2018 di kerusi majoriti Muslim.
“Dengan bantuan Pakatan Harapan, mereka berjaya mengejutkan semua pihak apabila mengikat Barisan Nasional (BN) dengan 29 kerusi.
“Pada PRN 2020, musuh utama mereka masih lagi BN, terutama Umno, selain perkara sama berulang pada PRN Kimanis diadakan pada Januari 2020,” katanya kepada FMT.
Beliau juga mengingatkan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin juga mungkin bergelut menyatukan parti menjelang pilihan raya selepas gagal dalam cubaan menumbangkan Ketua Menteri Hajiji Noor, pada Januari.
“Usaha terdahulu pada tahun ini menyaksikan Umno Sabah berpecah kepada dua puak: mereka yang bersetuju (untuk merampas kuasa) dan mereka yang tidak setuju.
“Jadi, persoalan utama: apa yang perlu kita lakukan dengan puak enggan mengikuti ‘Langkah Kinabalu’?” katanya.
Pada Januari, FMT melaporkan Bung dan Presiden Warisan Shafie Apdal menerajui cubaan merampas kuasa, namun usaha itu tersekat selepas enam Adun Umno mengekalkan sokongan.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata landskap politik Sabah berpecah, menjurus kepada kombinasi dan percaturan untuk parti bekerjasama.
“Apa yang penting adalah tidak sabotaj antara satu sama lain. Jika mereka (Umno-Warisan) boleh melakukannya, ia merupakan keajaiban,” katanya sambil menambah dua parti itu akan berikhtiar untuk menang sebanyak mungkin kerusi.
Pada 14 Dis, Shafie yang juga bekas ketua menteri, berkata Bung bersetuju untuk bergabung melawan Gabungan Rakyat Sabah, diterajui Hajiji.
Bagaimanapun, ia kemudian dinafikan Timbalan Ketua Umno Sabah Rahman Dahlan, sambil menyatakan Umno negeri belum memutuskan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada PRN.
Penggal pemerintahan kerajaan Sabah akan berakhir pada Oktober 2025. Namun, Hajiji ada memberi petunjuk kemungkinan PRN akan dilaksanakan seawal tahun depan.