
Hishamudin Yunus berkata peruntukan baharu seperti itu mesti jelas menyatakan wanita dan lelaki boleh didakwa kerana menggoda suami atau isteri orang lain.
“Kesaksamaan jantina mengikut undang-undang akan wujud apabila diskriminasi gender dimansuhkan seterusnya menjadikan kesalahan itu sah dan berperlembagaan,” kata bekas hakim Mahkamah Rayuan itu kepada FMT.
Katanya, Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan senator di Dewan Negara mesti memastikan sebarang undang-undang diluluskan tidak mengganggu hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara ini, dan sebarang undang-undang yang melanggar perlembagaan mungkin boleh dicabar di mahkamah,” katanya.
Hishamudin mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan memikat isteri orang, sebagai tidak berperlembagaan.
Susulan itu, ia kini bukan lagi menjadi jenayah untuk lelaki sama ada beragama Islam atau sebaliknya, untuk memikat isteri orang. Bagaimanapun, seorang lelaki Islam masih boleh didakwa mengikut enakmen syariah jika memikat seorang isteri yang beragama Islam.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan penghakiman sebulat suara panel lima hakim pada Jumaat lalu berkata, undang-undang berusia 152 tahun itu hanya membolehkan golongan suami bergantung kepada peruntukan itu.
Susulan itu, mahkamah memutuskan Seksyen 498 tidak berperlembagaan kerana secara mendiskriminasi atas dasar gender seterusnya melanggar peruntukan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, mahkamah berkata peruntukan itu tidak mampu diubah suai kerana akan mengubah watak kesalahan, seterusnya satu-satunya cara untuk membatalkannya adalah dengan memansuhkannya menerusi kehakiman.
Peguam Bastian Pius Vendargon berkata Parlimen boleh menjadikan zina kesalahan jenayah untuk lelaki dan wanita jika dirasakan wajar.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh menggubal undang-undang sivil seiring perundangan syariah negeri-negeri, memandangkan undang-undang peribadi orang bukan Islam turut dilindungi di bawah Perlembagaan,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, lelaki bukan Islam tidak boleh meminta undang-undang mengiktiraf hak mereka untuk berpoligami hanya kerana lelaki Islam mempunyai hak seperti itu.