
Mengulas kenyataan Mohamad atau Mat Sabu bahawa kakitangan awam bakal menyokong kerajaan perpaduan jika pentadbirannya kekal stabil sehingga PRU akan datang, ahli akademik berpandangan corak kepimpinan mereka turut diambil kira dalam mendapat sokongan.
“Mereka yang dilantik sebagai menteri harus menunjukkan prestasi cemerlang, perkara utama perlu diberi perhatian adalah dengan menyelesaikan isu membabitkan penjawat awam.
“Jika tiada penyelesaian sokongan penjawat awam akan hilang,” kata Hussain Yusri Zawawi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Mohamad memegang portfolio pertanian dan keterjaminan makanan di bawah pentadbiran Anwar, pada minggu lalu berkata penjawat awam akan mengundi kerajaan perpaduan jika pentadbirannya kekal stabil sehingga PRU akan datang.
Menurutnya, gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional hilang banyak undi penjawat awam pada PRN kerana pembangkang memainkan naratif akan berlaku perubahan kerajaan.
Dakwanya, penjawat awam menjadi mangsa propaganda supaya percaya kerajaan pusat dapat ditukar tanpa melalui PRU.
Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpandangan sebahagian besar penjawat awam dan orang Melayu mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan PRN enam negeri kerana selesa dengan gabungan terbabit.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perpaduan perlu meningkatkan keyakinan penjawat awam termasuk melawan persepsi berhubung DAP.
“Ketika ini ramai merasakan kerajaan semasa mempertahankan atau melawan pengaruh kekuatan DAP…itu persepsinya,” katanya.