Bintang muda biliard negara maut dalam kemalangan

Bintang muda biliard negara maut dalam kemalangan

Afiq Saiful Bahari yang berusia 13 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Lekas pada awal pagi tadi.

Afiq Saiful Bahari, 13, bersama mentornya Farhan Alyas. (Gambar Farhan Alyas)
PETALING JAYA:
Sukan biliard negara kehilangan seorang bintang remaja, Afiq Saiful Bahari, 13, dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi di Seremban.

Afiq meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Lekas pada jam 2.50 pagi tadi, selepas kereta Honda City yang dinaikinya terbabas ke dalam longkang.

Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dinaiki lima penumpang termasuk pemandu berusia 21 tahun hilang kawalan ketika di selekoh sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang yang lain dirawat Hospital Tuanku Jaafar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut mentor Afiq, Farhan Alyas, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas pertandingan biliard di Senawang.

Katanya, pemergian Afiq adalah satu kehilangan besar dalam sukan biliard negara kerana pemain muda itu sedang meningkat naik untuk menjadi pemain profesional.

“Saya baru menemani Afiq ke satu pertandingan di Shah Alam pada minggu lalu di mana dia muncul juara dengan menewaskan lawan yang lebih tua daripadanya.

“Afiq memenangi pelbagai pertandingan di peringkat tempatan dan kali pertama bertanding di peringkat antarabangsa di Vietnam pada tahun ini. Saya sangat sedih dan hilang kata-kata kerana Afiq memiliki masa depan yang cerah dalam sukan ini,” katanya kepada FMT.

Katanya, Afiq mula terbabit dengan sukan biliard sejak berusia lapan tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.