Anwar tarik balik rayuan cabar nasihat gantung Parlimen

Anwar tarik balik rayuan cabar nasihat gantung Parlimen

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan dua yang lain masih meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan notis untuk tidak meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Dis lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar tindakan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen sepanjang tempoh darurat yang diisytiharkan ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Notis menarik balik rayuan itu difail Tetuan Karpal Singh & Co yang mewakili perdana menteri pada 14 Dis lalu, dan diserahkan ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin ketika dihubungi mengesahkan Anwar menggugurkan rayuannya itu.

Sementara itu, peguam, Christopher Leong, berkata Tetuan Cheang & Ariff memfailkan notis memaklumkan firma itu menarik diri daripada mewakili bekas Ahli Parlimen Pulai yang juga bekas menteri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Leong berkata, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari kekal sebagai pihak dalam rayuan itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim juga meneruskan rayuan.

Liew berkata Suhaila menetapkan pengurusan kes seterusnya untuk rayuan itu pada 8 Jan ini.

Anwar yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson dan ketua pembangkang, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 26 Jan 2021, dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden.

Anwar memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Jemaah Menteri yang diketuai Muhyiddin untuk menasihatkan Agong mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang mengakibatkan Parlimen digantung, adalah tindakan yang tidak mengikut Perlembagaan, menyalahi undang-undang, dan ultra vires (melampaui kuasa yang sah).

Permohonan sama turut difailkan Salahuddin, Johari, Aziz, Hassan dan beberapa badan bukan kerajaan.

Pada 24 Nov 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut.

Pada 25 Mei tahun lalu, kelima-lima mereka, yang ketika itu pembangkang, berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.