
Beliau juga dikenali sebagai Tok Mat, kini sebahagian delegasi rasmi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja mereka ke Jepun.
Peralihan penting ini berlaku susulan pelantikan Mohamad sebagai menteri luar baru-baru ini, peranan yang digalasnya selepas rombakan Jemaah Menteri diumumkan dua hari sebelum lawatan ke Tokyo. Beliau menggantikan Zambry Abdul Kadir yang dilantik menteri pendidikan tinggi.
Ditanya peranan baharunya semasa majlis minum petang diaspora Malaysia di sini, Mohamad secara berseloroh berkata: “Saya belum lagi menjejakkan kaki ke pejabat baharu saya di Putrajaya, tetapi saya sudah ada di sini sekarang sebagai menteri luar.”
Disebabkan kesuntukan masa selepas pelantikannya dan lawatan kerja ini, Mohamad berkata, beliau tidak berpeluang bertemu pegawai kementerian itu atau membuat persiapan terlebih dahulu.
Bagaimanapun di Jepun, beliau dapat memperuntukkan masa daripada jadual padatnya, termasuk bertemu kapten industri bersama perdana menteri dan menghadiri perjumpaan di Kementerian Luar Jepun dengan rakan sejawatnya, Yoko Kamikawa.
Mengenai pertemuannya dengan Yoko, beliau berkata: “Tiada masalah kerana saya pernah berjumpa Yoko sebelum ini semasa saya jadi menteri pertahanan.”
Semasa lawatan itu, Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun dan mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Emisi Asia (AZEC) menawarkan platform terbaik untuk Mohamad membiasakan diri dengan rakan sejawatnya dari negara Asean.