Pindah lapangan terbang KK ke utara Sabah, cadang Rahman Dahlan

Pindah lapangan terbang KK ke utara Sabah, cadang Rahman Dahlan

Beliau mencadangkan tiga lokasi di mana lapangan terbang itu boleh dibina iaitu Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu.

Lapangan terbang baharu Sabah bagi menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum ini dilaporkan bakal dibina di Kimanis.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Sabah mencadangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dipindahkan ke utara Sabah berbanding Kimanis seperti yang disyorkan sebelum ini.

Timbalan Ketua Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan berkata tiga tempat boleh dijadikan lokasi di mana KKIA baharu itu dibina, iaitu Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu.

“Jadi kalau kita bawa lapangan terbang ini ke kawasan utara maka apa yang berlaku ialah banyak kilang akan wujud di sekeliling lapangan terbang ini.

“Banyak industri baru akan wujud di sekeliling lapangan terbang ini menyebabkan kawasan yang miskin tadi akan dapat limpahan peluang pekerjaan yang banyak,” katanya di Facebook.

Pada 1 Ogos lalu, dilaporkan pembinaan lapangan terbang baharu Sabah di Kimanis akan mengambil masa tiga hingga lima tahun sebaik kerajaan negeri meluluskan pemindahan semula KKIA.

Qhazanah Sabah Bhd (QSB), cabang pelaburan strategik kerajaan Sabah, juga menjangkakan pemindahan KKIA akan dimulakan pada 2030.

Dalam pada itu, Rahman yang juga bekas menteri berkata cadangan memindahkan KKIA ke utara Sabah membolehkan tanah asal lapangan terbang itu dijual kepada pemaju untuk dijadikan pusat bandar Kota Kinabalu yang baharu.

Beliau berkata tanah KKIA itu boleh dijual sekitar RM1 bilion hingga RM2 bilion.

“Boleh guna duit itu untuk bina lapangan terbang lain. Kerajaan tidak perlu keluarkan duit yang banyak untuk membina lapangan terbang Sabah yang baharu.

“Ini boleh jimatkan banyak kos,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pemindahan itu berjaya, Kota Kinabalu akan menjadi bandar raya besar dan mempunyai kawasan cantik berikutan kedudukannya berhampiran laut.

“Dengan memindahkan lapangan terbang ini, kita secara automatik dapat ‘double’ saiz bandar Kota Kinabalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.