Sesat 6 jam di Gunung Panti, pendaki berdepan tindakan

Sesat 6 jam di Gunung Panti, pendaki berdepan tindakan

Lelaki dan wanita itu ditemukan 10.20 malam tadi dan dibawa keluar menggunakan kenderaan polis.

Pasukan operasi mencari dan menyelamat mengesan pendaki sesat di Gunung Panti, Kota Tinggi, Johor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua pendaki sesat lebih enam jam di Gunung Panti, Kota Tinggi, Johor, ditemukan selamat malam tadi namun berdepan tindakan kerana memasuki hutan simpan itu tanpa permit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Salim Aman, berkata lelaki dan wanita tempatan berusia 20-an itu tidak mempunyai dokumen permit memasuki hutan simpan serta tanpa kawalan jurupandu atau Malim Gunung Perhutanan (MGP).

“Kita akan mengambil tindakan bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa permit,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata pendaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan serius ketika ditemui.

Katanya, laporan dibuat sendiri oleh mangsa menerusi telefon kepada Balai Polis Batu Ampat kira-kira 6.50 petang yang memaklumkan mereka tersesat dan terkeluar dari trek pendakian.

“Seramai 25 anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri JPNJ, Balai Polis Batu Ampat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi serta MGP terlibat dalam usaha mengesan mangsa,” katanya.

Kataya, kedua-dua mangsa berjaya ditemukan pada 10.20 malam dan dibawa keluar menggunakan kenderaan polis serta dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.

“Kita ingin menasihati orang ramai yang berhasrat masuk hutan atau mendaki mematuhi larangan penutupan trek pendakian pada musim tengkujuh atas faktor keselamatan diri dan ketenteraman awam,” katanya.

Pada 28 Nov lalu JPNJ mengumumkan penutupan trek pendakian Gunung Panti bermula 1 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.