Langgar maut pelajar: Serah pada polis jika ada bukti ‘dashcam’

Langgar maut pelajar: Serah pada polis jika ada bukti ‘dashcam’

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya bersedia menerima apa jua bukti bagi melengkapkan siasatan.

Pada Jumaat, tular seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaiki dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati. (Gambar Twitter)
IPOH:
Polis harap mana-mana individu mempunyai bukti seperti rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan atau kamera litar tertutup (CCTV), berhubung kes pelajar maut selepas dilanggar kenderaan disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis Jumaat lalu, tampil membantu siasatan.

“Kita masih menunggu…yang ada ‘dashcam’, CCTV atau lain-lain, siapa yang ada itu (bahan bukti) kita akan terima. Setakat ini belum lagi,” kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi.

Beliau berkata, esok tempoh tahanan reman pegawai berkenaan akan tamat, namun masih belum dapat disahkan sekiranya tempoh reman akan disambung atau sebaliknya.

“Biarkan polis siasat dengan telus dan adil seperti arahan KPN (ketua polis negara), dan juga kita minta saksi-saksi di luar sana yang boleh membantu siasatan untuk tampil, hubungi polis atau pegawai penyiasat untuk beri keterangan,” katanya.

Dua hari lalu, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaiki dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.