
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan, berkata daripada jumlah itu, 14 saksi tampil membantu siasatan dan 13 daripadanya adalah pelajar dan orang awam.
“Polis merekodkan keterangan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
“Selain mereka, polis turut merekodkan lapan lagi keterangan individu berkaitan kes ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu yang direkodkan (keterangan) seramai 22 orang,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.
Ketika ditanya sama ada suspek berusia 44 tahun itu akan didakwa esok selepas remannya tamat, beliau hanya menjawab “tunggu esok.”
Dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dekat Meru, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie maut selepas dipercayai diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta yang melanggarnya.
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.
Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.