Kes langgar pelajar disegerakan, polis dapatkan rakaman ‘dashcam’

Kes langgar pelajar disegerakan, polis dapatkan rakaman ‘dashcam’

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.

Mohd Yusri Hassan Basri menenangkan bapa Mohammad Zaharif Affendi, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, ketika melawat keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa, Chemor hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis akan melengkapkan kertas siasatan terhadap seorang pegawai kanan polis dengan segera, selepas disyaki terbabit dalam kes pelajar lelaki yang maut dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata langkah itu bagi membolehkan pendakwaan dilakukan di mahkamah dalam masa terdekat.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini. Kita akan melengkapkan siasatan secepat mungkin untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa di sini, hari ini.

Yusri berkata pihaknya sedang meneliti rakaman litar tertutup yang ada di sekitar kawasan kemalangan serta mendapatkan rakaman daripada pemilik kamera papan pemuka.

“Semuanya masih dalam siasatan. Kita akan menyiasat daripada pelbagai sudut dan tidak akan sekali-kali berkompromi atau melindungi mana-mana pihak dan kita menjalankan siasatan secara telus untuk memberi keadilan kepada semua pihak, ” katanya.

Semalam, Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.40 tengah hari yang melibatkan kereta Perodua Ativa dipandu suspek berusia 44 tahun serta motosikal jenis Yamaha yang ditunggang pelajar tersebut.

Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang bertugas di IPK Kedah itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Yahaya berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Kejadian berhampiran sekolah SMK Jati di Meru itu tular di media sosial yang menunjukkan gambar pelajar lelaki berkenaan cedera, didakwa dilanggar sebuah kereta.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh turut melawat keluarga mangsa dengan memberi kata-kata semangat serta turut menyumbangkan sumbangan peribadi kepada wakil keluarga mangsa.

Dalam lawatan berkenaan bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, rebah semasa Yusri tiba di kediaman mangsa kira-kira 5 petang tadi.

Zamrie ditenangkan Yusri serta orang ramai yang turut bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan.

Zamrie serta beberapa ahli keluarga mangsa kelihatan gagal menahan emosi dengan menangis teresak-esak semasa menceritakan kembali detik kemalangan yang menimpa anak bongsunya itu kepada orang ramai termasuk kenalan dan saudara mara yang hadir memberi sokongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.