Rombak Kabinet bayangan, tonjol Dr Sam, pembangkang diberitahu

Rombak Kabinet bayangan, tonjol Dr Sam, pembangkang diberitahu

Wong Chin Huat berkata rombakan perlu seiring perubahan Jemaah Menteri, menyaksikan ada portfolio baharu susulan pemecahan fungsi kementerian.

Muhyiddin Yassin memperkenalkan Kabinet bayangan Perikatan Nasional pada Feb lalu.
PETALING JAYA:
Pembangkang perlu merombak Kabinet bayangan yang didakwa kurang berfungsi, termasuk menonjolkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, kata penganalisis.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berpendapat rombakan juga perlu dibuat seiring perubahan Jemaah Menteri pentadbiran Anwar Ibrahim yang menyaksikan ada portfolio baharu susulan pemecahan fungsi kementerian.

Wong berkata Samsuri yang menang PRK Kemaman awal bulan ini perlu ditonjolkan dalam barisan utama memandangkan naratif kempen Perikatan Nasional (PN) berkisar naib presiden PAS itu sebagai calon perdana menteri.

“Kalau PN serius jadikan Dr Sam sebagai calon PM, tak cukup promosi beliau di Terengganu sahaja, tonjolkan juga dalam Kabinet bayangan PN,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, PN tidak harus mengelak label “menteri bayangan” sebaliknya menunjukkan mereka juga mempunyai calon menteri setaraf atau lebih baik berbanding anggota Kabinet kerajaan perpaduan.

Katanya, pengagihan portfolio juga perlu dikemaskini susulan pemecahan kementerian sedia ada serta kewujudan kementerian baharu Persekutuan.

“Adakah Tuan Ibrahim Tuan Man dan Wan Saiful Wan Jan mampu memantau dua orang menteri sekali gus (Nik Nazmi Nik Ahmad dan Fadillah Yusof serta Fahmi Fadzil dan Gobind Singh),” soalnya.

Pada 2 Feb lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan ‘Kabinet’ mereka yang akan menyelaraskan pengurusan gabungan itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Bekas perdana menteri itu dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya Abdul Hadi Awang. Tuan Ibrahim pula mengetuai portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala wakil rakyat Putrajaya Radzi Jidin mengetuai tugas berkaitan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Antara wakil rakyat lain termasuk Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan (Kementerian Dalam Negeri) dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah (Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi).

Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya pula berpendapat PN perlu membuat rombakan Kabinet bayangan untuk membuktikan kekuatan dan potensi pemimpin pelapis.

“(Rombakan) ini boleh dilakukan bukan sahaja diwakili Ahli Parlimen tetapi juga penyertaan golongan korporat atau teknokrat. Boleh juga menampilkan contoh Dr Sam sebagai pencabar perdana menteri.

“Ia perlu lakukan segera untuk memastikan Kabinet yang dirombak kerajaan itu dapat ‘discourse counter’ dengan adanya Kabinet bayangan. Ini penting menunjukkan PN khususnya PAS dan Bersatu tidak kurang hebat berbanding kerajaan perpaduan,” katanya.

Selasa lalu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet yang pertama dalam tempoh setahun pentadbirannya.

Perubahan itu menyaksikan anggotanya bertambah daripada 28 kepada 31 menteri, dengan pelantikan lima muka baharu, beberapa portfolio bertukar tangan, dan seorang menteri digugurkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.