
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas memutuskan plaintiff Hatta Sanuri tiada lokus standi untuk memulakan saman dan ia juga menyalahguna proses mahkamah.
“Adalah penting sekali mahkamah dan badan kehakiman menahan diri daripada terlibat dalam perkara-perkara yang secara jelas berada dalam bidang kuasa ranting eksekutif dan perundangan.
“Selain itu, plaintif juga gagal membuktikan dalam kenyataan tuntutannya bahawa beliau benar-benar diberi kuasa atau dilantik untuk mewakili setiap pembayar cukai atau warganegara.
“Mahkamah ini mendapati terdapat penyalahgunaan proses. Membenarkan saman ini diteruskan tanpa sebab tindakan yang jelas boleh membuka pintu kepada ligitasi yang remeh, berpotensi melanggar sistem kehakiman dengan kes-kes yang dibawa oleh individu atau kumpulan dengan perkara tanpa kepentingan langsung,” katanya.
Beliau mengarahkan Hatta membayar kos RM10,000.
Hatta, 47, memfailkan saman itu pada 30 Dis lepas, dengan menamakan dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin sebagai defenden.
Lelaki itu juga menamakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan kerajaan selaku defendan.
Dia mendakwa Mahathir melakukan kecuaian dan menyalahgunakan jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek itu selepas Pakatan Harapan berkuasa pada 2018.
Keputusan itu menyebabkan kerajaan dan semua rakyat Malaysia perlu membayar pampasan RM46 juta kepada Singapura.
Defenden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin manakala peguam Nur Izatul Nabila Nazarudin mewakili plaintif.
Pada 1 Jan 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350km kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.