Kementerian Kewangan akan teliti semula permohonan eMadani ditolak

Kementerian Kewangan akan teliti semula permohonan eMadani ditolak

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan isu permohonan individu layak yang ditolak.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai permohonan kredit eMadani oleh individu layak yang ditolak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan akan berusaha menyelesaikan isu permohonan kredit eMadani yang ditolak, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

“Saya cuba dapatkan lebih banyak maklumat dan akan cuba tengok dan selesaikannya,” katanya kepada pemberita di Pasar Chowrasta, George Town, lapor Bernama.

Lim berkata, walaupun ramai yang berjaya menuntut kredit eMadani RM100 yang mula diagihkan minggu lepas, ada juga pemohon layak yang gagal menuntutnya.

Beliau menegaskan kerajaan akan melihat perkara itu dengan serius.

Lim Hui Ying.

Mengulas mengenai pertikaian dalam media sosial susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri kewangan selepas rombakan Jemaah Menteri Selasa lepas, Lim berkata, perkara itu tidak melemahkan semangatnya untuk berkhidmat kerana rakyat juga bebas bersuara.

“Saya terima dengan hati terbuka apa sahaja komen kerana saya bukan sempurna … setiap orang ada kelemahan, kekurangan dan kelebihan,” kata Ahli Parlimen Tanjong itu.

“Saya hanya boleh berjanji akan bekerja sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik buat rakyat Malaysia dan Pulau Pinang.”

Lim sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.