
Dr Zaliha yang dilantik ke jawatan itu susulan rombakan Jemaah Menteri pada Selasa lepas berkata, antara fokus beliau adalah membawa misi dan visi yang dianjurkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Perhatian ini untuk memastikan Wilayah Persekutuan terus maju dan sentosa sekali gus meningkatkan ekonomi,” katanya kepada media sebelum mengadakan taklimat bersama pegawai Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi hari ini.
Masalah penjaja dan peniaga kecil sering menjadi perhatian Anwar apabila berulang kali menyatakan bahawa pembangunan bandar tidak boleh meminggirkan golongan berkenaan, termasuk penyediaan kemudahan yang bersih serta selesa.
Dr Zaliha berkata, fokus lain adalah isu legasi melibatkan Kampung Baru, persediaan Wilayah Persekutuan dalam Tahun Melawat Malaysia pada 2026 serta sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Wilayah Persekutuan tahun depan.
Dari sudut ekonomi pula, katanya, pembangunan di Labuan menjadi fokus memandangkan lawatan Anwar ke pulau bebas cukai itu pada 7 Dis lepas menyatakan ia perlu dimajukan sebagai hab ekonomi dan pelancongan.