Bantuan PKKP bukan penyelesaian jangka panjang, kata Cuepacs

Bantuan PKKP bukan penyelesaian jangka panjang, kata Cuepacs

Kesatuan perkhidmatan awam itu menggesa kerajaan mempercepatkan pelarasan gaji penjawat awam dan bukannya menunggu sehingga 2025.

Skim gaji baharu penjawat awam hanya akan dilaksanakan pada Januari 2025, menurut laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cuepacs menggesa kerajaan menyegerakan pelarasan gaji perkhidmatan awam, sambil menyatakan langkah meneruskan pembayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bukanlah penyelesaian jangka panjang.

“Selagi pelarasan gaji perkhidmatan awam tidak buat, selagi itulah penyelarasan pencen penjawat awam tidak boleh dilakukan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan semasa kerajaan seperti inisiatif PKKP.

“Justeru itu, Cuepacs menggesa kepada kerajaan untuk melakukan penyelarasan segera bagi menaikkan gaji penjawat awam berbanding menunggu sehingga 2025,” kata Presiden Cuepacs Adnan Mat dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kerajaan wajar memberi keutamaan terhadap isu itu yang membabitkan isu kebajikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat serta lebih 700,000 pesara kerajaan.

Pada Selasa, FMT melaporkan skim gaji baharu penjawat awam hanya akan dilaksanakan pada Januari 2025, menurut garis masa semakan dipaparkan dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Semakan Skim Saraan Baharu, bermula pada Julai, akan dilengkapkan pada Oktober tahun depan sebelum dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan dalam Belanjawan 2025.

Pada 27 Jun, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (Akta A1447) terbatal dan tidak sah, menjadikan pindaan itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Bagaimanapun, pada Julai lalu, kerajaan memutuskan pencen Julai dan pencen terbitan bagi penjawat awam yang bersara sebelum dan mulai 2013 dibayar menggunakan jumlah pencen asal.

Ini menyebabkan bayaran pencen penjawat awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada jumlah Disember 2012, manakala penjawat awam yang bersara mulai 2013 dan seterusnya pembayaran pencen dikembalikan kepada jumlah asal semasa bersara.

Perbezaan antara amaun pencen semasa dan angka asal akan terus dibayar dalam bentuk PKKP bagi membolehkan jumlah yang diterima oleh pesara adalah sama seperti yang diterima pada Jun 2023.

Semalam, Ketua Pengarah JPA Zulkapli Mohamed mengumumkan PKKP akan terus diberikan mulai Januari hingga Disember 2024, untuk pesara terkesan dan penerima pencen terbitan.

“Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan pembayaran PKKP bagi tempoh Julai 2023 hingga Disember 2023 untuk pesara dan penerima pencen terbitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.