
Hakikatnya, tarikan di Selangor tidak kurang hebat. Di utara negeri ini, terdapat pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi.
FMT Lifestyle baru-baru ini berpeluang mengunjungi Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Lawatan media anjuran Tourism Selangor ini ternyata menyingkap pelbagai tarikan meliputi landskap yang mempesonakan, aktiviti kebudayaan, dan tempat rekreasi.
Berikut lima tempat yang membuktikan Kuala Selangor dan Sabak Bernam harus masuk dalam destinasi pelancongan anda seterusnya.
Bukit Malawati

Kubu yang dibina pada abad ke-16 ini salah satu destinasi paling popular di Kuala Selangor. Tidak sukar untuk ke puncaknya. Anda boleh berjalan kaki atau menaiki trem di sebuah stesen di pekan ini.
Banyak aktiviti menanti di sini. Anda boleh mengunjungi muzium sejarah dan melihat pelbagai meriam atau mengimbau kenangan zaman kanak-kanak di muzium permainan tradisional. Anda juga boleh mengagumi Rumah Api Altingsburg yang masih berdiri megah atau melihat Perigi Beracun, di mana penderhaka zaman silam dihukum.
Pemandangan di Bukit Malawati tidak kurang hebatnya. Perhatikan juga telatah kumpulan beruk dan monyet di situ. Jangan bimbang, haiwan ini biasanya tidak berbahaya, kecuali diganggu!
Kilang padi Sekinchan

Nama Sekinchan pasti mengingatkan kita pada sawah padi yang menguning, seiring reputasi sebagai salah sebuah kawasan utama pengeluar beras.
Inilah sebabnya anda wajar mengunjungi Paddy Gallery, yang memberi penghormatan pada industri yang mengharumkan nama Sekinchan. Menerusi persembahan video, gambarajah dan paparan menarik, seluruh proses penghasilan beras dipaparkan di sini – daripada menanam padi hinggalah pembungkusan.
Pelbagai alatan memproses beras sejak zaman berzaman turut dipamerkan. Begitu juga periuk dan alatan memasak generasi dahulu, di samping teks mengenai latar belakang Sekinchan.
Jangan lupa mencuba tarikan di sini iaitu cendol beras perang.
Ah Ma House, Sekinchan

Ah Ma House di Sekinchan tidak ubah seperti sebuah muzium dan kedai yang membawa kita kembali ke zaman kanak-kanak. Hampir apa sahaja tersedia. Anak patung kertas, terompah merah, snek seperti Choki-Choki dan gula-gula keping Haw boleh dibeli di sini. Selain makanan, terdapat juga mainan dan peralatan rumah.
Ah Ma House turut menjual produk tempatan seperti mi kering, sos, dan jeruk. Anda juga boleh membeli snek kegemaran ramai seperti kuih kapit yang disediakan secara tradisional.
Jangan lupa menyaksikan pameran peralatan lama seperti gramofon antik, telefon mudah alih klasik, dan set televisyen lama. Gelagat pengunjung muda melihat peralatan sebegini pasti mencuit hati!
Kelip-kelip Sungai Panjang

Ingin melihat pertunjukan cahaya yang istimewa? Tuju ke Pusat Pemuliharaan Kelip-kelip Sungai Panjang dan naiki bot waktu malam yang menyusuri sepanjang sungai itu. Pastikan anda memakai jaket keselamatan dan bersedia menikmati pengalaman hebat. Pemandangan waktu malam di sungai ini sungguh mempesonakan.
Saksikan kemunculan kelip-kelip yang seakan-akan menari di pepohon, memancarkan cahaya indah. Ada yang mungkin mendekati bot, membolehkan anda menangkapnya secara lembut! Inilah kenangan manis yang pasti terpahat di hati.
Anda juga boleh pergi ke Pasir Penambang di Kuala Selangor untuk melihat kelip-kelip.
Agropelancongan Sungai Panjang

Pelbagai tarikan agropelancongan menanti di pekan Sungai Panjang yang terkenal dengan pertanian, menawarkan pengalaman santai yang unik. Terdapat banyak inap desa di sini. Salah satunya Nazbell Cottage yang menawarkan pelbagai pilihan chalet menarik, dikelilingi pemandangan sawah padi. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti berbasikal atau menaiki ATV di kawasan sekitarnya.
Aktiviti agropelancongan membolehkan anda bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat tempatan, kebanyakannya memiliki kemahiran atau teknik unik yang boleh mereka tunjukkan. Ini termasuklah menganyam mengkuang secara tradisional dan memasak hidangan tempatan, ataupun seni celupan Jepun. Malah, anda mungkin berpeluang mencuba sendiri kraf menarik ini!
Artikel ini ditulis hasil kunjungan yang dianjurkan oleh Tourism Selangor Malaysia. ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’